Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Benarkah Anak Luar Nikah Tidak Boleh Jadi Imam Solat?

Anak Tak Sah Taraf dikenali sebagai 'Anak Luar Nikah' dalam masyarakat Melayu atau 'Anak Zina' mengikut hukum syarak. Topik mengenai anak luar nikah ini masih lagi ada sejak dulu hingga kini. Anak luar nikah ini seringkali dipandang serong oleh masyarakat hingga memanggil mereka dengan gelaran 'anak haram'. 


Anak-Luar-Nikah-Tidak-Boleh-Jadi-Imam
sekadar gambar hiasan


Takrif Anak Luar Nikah atau Anak Tak Sah Taraf

Anak luar nikah, atau anak tak sah taraf atau anak haram, adalah gelaran bagi anak yang dilahirkan dalam keadaan berikut:

1. Bayi yang dilahirkan tanpa ibu-bapanya berkahwin, sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui persenyawaan cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak.

2. Bayi yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan selepas berkahwin dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

3. Bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa bayi tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Benarkah Anak Luar Nikah Tidak Boleh Jadi Imam?

Lain-lain isu mengenai anak luar nikah ini, ada yang berkata, anak tak sah taraf lelaki tak boleh menjadi imam dan tak boleh mewalikan anaknya sendiri. Paling teruk, ada yang menghukum akan dimasukkan ke neraka. Allahuakbar. 

Seandainya anda salah seorang yang mempunyai persoalan tentang hal ini, mohon segera tahu yang ini semua adalah pernyataan yang salah. 

Anak luar nikah sama sekali tidak berdosa. Anak luar nikah ini suci sebagaimana anak-anak yang lain. Semuanya adalah hamba yang disayangi oleh Allah SWT. Bezanya di sini, cara atau punca bagaimana ia dilahirkan. 

Kebanyakan kes anak luar nikah atau tidak sah taraf ini berlaku selepas pasangan terlanjur dan kemudiannya hamil. Ada juga di antara anak luar nikah ini dilahirkan akibat dari ibunya yang menjadi mangsa rogol. 

Walaubagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan sebarang alasan untuk menuding jari kepada anak luar nikah ini bahawa mereka adalah si pendosa yang tidak layak untuk menjadi imam dan sebagainya. 

Status Anak Tak Sah Taraf Lelaki Untuk Menjadi Imam Solat

Untuk status anak luar nikah lelaki untuk menjadi imam solat, ia sama sekali tidak berkaitan dengan hukum. Tidak ada larangan hingga anak luar nikah ini tidak boleh menjadi imam solat. Solat yang dilakukan tetap sah. 

Anak tak sah taraf adalah sama taraf dengan anak sah taraf, dalam semua perkara. Dari Quran: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu" (Al Hujuraat 18:13). 

Hadith pula menyatakan: "Tiada kelebihan seseorang terhadap yang lainnya melainkan dengan taqwa kepada Allah". (Riwayat Abu Bakar Albazzar). 

Memang ada terdapat sedikit perkongsian berkaitan Imam Syafii, di mana posisi sebagai imam salat bagi anak hasil zina adalah makruh. 

Imam Syafi'i berkata: Saya memakruhkan orang yang tidak diketahui siapa ayahnya untuk menjadi imam sholat. Karena posisi imam adalah posisi terhormat, meskipun kalau ada orang seperti itu yang menjadi imam, maka sholatnya sah dan sholat para makmumnya juga sah,”.

Jangan salah faham ya. Makruh adalah sesuatu perbuatan yang tidak mendapat dosa jika dikerjakan tetapi akan mendapat pahala jika dilakukan. 

Kenapa boleh jadi makruh? Boleh dengar penjelasan lanjut dari Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Buya Yahya menerusi video-video di bawah ini. 

Soalan Anak Zina Jadi Imam Solat - Ustaz Azhar Idrus


Hukum Anak Zina Menjadi Imam Shalat di Masjid - Buya Yahya Menjawab


Untuk pengetahuan semua, sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 2005 hingga 2015. Angka ini masih lagi bertambah. 

Status Anak Tak Sah Taraf Perempuan Untuk Bernikah

Apakah hukum berkahwin dengan anak tak sah taraf serta siapakah wali yang boleh menikahkan anak ini? Bolehkah seorang lelaki mewalikan anak perempuan hasil hubungan luar nikahnya sebelum ini?

Kajian menunjukkan yang anak luar nikah ini tidak sah tarafnya dan tidak boleh dibinkan kepada bapa dan begitu juga untuk menjadi wali. 

Untuk anak luar nikah perempuan, si bapa tidak boleh jadi wali. Tapi itu tidak bererti anak luar nikah perempuan ini berstatus 'haram' untuk dinikahi oleh mana-mana lelaki yang sudi untuk menjadikannya sebagai isteri.  

Anak luar nikah perempuan ini tetap boleh bernikah dengan sesiapa saja yang disukainya, cuma perlu guna wali hakim dan tidak ada perwarisan harta yang boleh dituntut oleh anak perempuan luar nikah ini dari sebelah bapanya. 

Kesimpulan :


Dosa melahirkan anak hasil zina tidak berkaitan dengan si anak itu sendiri. Apa hukum kahwin dengan anak luar nikah? Ianya sah cuma wali perlu menggunakan secara wali hakim. 

Untuk topik anak luar nikah tidak boleh jadi imam solat baik di rumah mahupun di masjid, janganlah terlalu cepat membuat hukuman dengan kata-kata. 

Nasib anak hasil zina di akhirat dan di dunia ini, mereka berhak tentukan sendiri. Jika amal solehnya banyak syurga tempat mereka, sama seperti anak sah taraf yang lain. Di sisi Allah SWT, kita semua sama tidak kira anak itu luar nikah ataupun tidak. 

Yang melakukan zina adalah ibu dan ayahnya, jadi kenapa pula anak itu dihukum sedemikan rupa. Sepatutnya kita terima mereka tanpa ada sebarang prejudis. 

Jangan pandang rendah terhadap anak tak sah taraf ini. Mungkin mereka lebih bertaqwa dari kita. 

Post a Comment for "Benarkah Anak Luar Nikah Tidak Boleh Jadi Imam Solat?"